
Tolong saya Doktor! Saya Tak Nak Gila!
…………
OGOS 2020
“Wah puan sekarang nampak berseri seri daripada pertama kali saya jumpa dulu,” usik saya menyapa Puan K pagi semalam.
“Alhammdulillah Dr. Saya rasa sangat berbeza daripada dulu. Saya dah rasa betul betul OK,” ujar Puan K tersenyum lebar.
“Ini ada surat daripada doktor pakar Psikitarik , cuba Dr baca,”.
Puan K menyeluk sekeping surat daripada tas tangannya. Surat itu bertukar tangan kepada saya.
Saya segera meneliti isi kandungan surat tersebut.
Selang beberapa saat kemudian, saya melipat kemas surat tersebut.
Saya memandang kilas wajahnya. Ternyata dia tersenyum lagi.
Nampak bahagia.
Saya lantas membalas senyumannya.
Saya juga bahagia.
………………………………………………………………………
SEPT 2019
“Semua orang macam benci saya Dr,” getus Puan K. Tertekan.
“Suami saya dah tak percayakan saya! Anak anak tiri saya yang perempuan selalu sakit hati dengan saya. Anak saya sendiri dah tak nak dengar cakap saya. Saya buntu Dr, saya tak tahu nak buat apa,” luahnya teresak esak.
Puan K, seorang wanita pertengahan abad sebenarnya baru sahaja berkahwin dengan seorang lelaki lewat 60 an beberapa bulan yang lepas. Ini adalah perkahwinan kedua bagi mereka.
Puan K merupakan balu dan mempunyai seorang anak lelaki angkat yang berusia sekitar 20 tahun.
Manakala suaminya terkini , En Z pula juga duda kematian isteri yang sudah mempunyai beberapa orang anak dewasa sekitar usia 30-40 an.
Sebelum berkahwin, En Z dikatakan simpati dengan nasib Puan K sudi megambil Puan K sebagai isteri untuk membela nasibnya anak beranak.
Panas disangka hingga ke petang, hujan pula di tengah hari.
En Z termakan hasutan anak anak perempuannya yang jelas tidak setuju akan perkahwinan kedua bapa mereka. Ditambah dengan rencam perangai anak remaja Puan K yang nakal dan protest, semakin membuak buak perasaan tidak puas hati kepada Puan K.
Hingga satu tahap, En Z bertindak menghalau anak angkat Puan K dari rumahnya.
Kini, anak angkat Puan K tinggal berasingan di rumah lama Puan K di mukim lain.
Jiwa Puan K semakin sakit apabila anak anak tiri perempuannya mula mencucuk jarum memfitnah dirinya menggatal dengan lelaki lain.
Maka, saban hari hubungan mereka samakin renggang, semakin pudar. Hari hari mereka dipenuhi dengan perselisihan.
Bukan seminggu dua perkara ini ditanggung oleh Puan K.
Ia berlanjutan hingga berbulan bulan.
“Tolong saya Dr! Saya tak nak gila!,”
Ungkapan ini sudah cukup membuatkan seorang Doktor Keluarga kerajaan bertungkus lumus membantu “client” nya yang tidak berbayar ini.
………………………………………………………………………
Simptom Major Depressive Disorder
Diam tak diam, sudah hampir setahun saya “follow up” masalah Puan K. Saya mula pertama men “diagnose” Puan K dengan “Major Depression Disorder” pada sekitar September 2019.
Saya masih ingat dalam hiruk pikuk klinik saya yang sibuk pada pagi itu, “pending” pesakit mencecah 40 di bahagian menunggu, saya didatangi seorang wanita berusia 52 tahun yang bermuka sugul dan tidak bermaya.
Mana tidaknya, sudah beberapa minggu dia tidak dapat tidur.
Setiap detik jaganya diisi dengan menangis.
Selera makan hilang entah ke mana.
Badannya susut mencengkung.
Dia tidak mampu menjalankan “fungsi”nya sebagai suri rumah dengan sempurna. Semuanya tidak kena.
Dia serasa seperti mahu lari rumah, tetapi tidak tahu ke mana.
Dia serasa seperti hidup ini tidak lagi bermakna.
Terkadang ada juga terasa mahu mencederakan dirinya.
Namun, mujur imannya masih kental. Mujur tiada bisikan ajaib yang menyuruhnya membuat bukan bukan (psychosis).
Dia masih tidak putus memanjat doa supaya dikuatkan iman.
Hampir satu jam lebih sesi “emotion-ventilating” (luahan perasaan) bersama saya, sebutir air mata tidak pernah lekang daripada tebing matanya.
Sukar untuk saya tangkap eye-contact nya, kerana kerana banyak masanya , matanya tertancap ke meja, murung.
Ini semua adalah kriteria Major Depressive Disorder (MDD) – Menepati DSM 5 criteria untuk mendiagnose penghidap MDD.
………………………………………..
MDD: Peranan Doktor Keluarga
Di sinilah peranan saya sebagai “Family Doctor” atau “Doktor Keluarga” bermula.
Bagi kebanyakan masyarakat menganggap doctor yang bertugas di klinik kesihatan (kk) ini sebagai doctor kk (nama panggilan lain untuk ubat paracetamol) atau doctor demam.
Tak kurang juga ada persepsi sinis yang menganggap kami sebagai “referologist” atau doctor yang tahu merujuk / refer kepada hospital sahaja. Tidak pandai merawat kes rumit.
Tapi sebenarnya kami yang komited dengan “Family Medicine” ini bukan lagi berada di takuk lama yang digembar gemburkan.
Sesuai dengan fasiliti yang kami ada, kami cuba membantu pesakit sedaya yang kami mampu.
Kami bukan sahaja merawat “penyakit” atau “disease-centered” dengan hanya memberi ubat/ refer ke hospital kemudian mengucapkan “bye bye” .
Tetapi kami membantu pesakit secara holistic atau dipanggil “patient-centered”.
Setelah membuat penerangan dan kaunseling, dengan persetujuan Puan K, saya telah memulakan rawatan ubat anti depression untuk menenangkan Puan K.
Kemudian, saya segera menulis surat rujukan kepada Jabatan Psikologi untuk Puan K mendapat susulan rawatan pakar .
Walaupun telah dirujuk ke pakar psikiatrik, saya tidak terus “melepaskan” Puan K begitu sahaja. Saya masih berjumpa Puan K dalam beberapa siri temu janji (follow up) untuk menilai respon Puan K terhadap rawatan.
Sebagai doktor keluarga,tugas kami tidak terhad merawat “penyakit” pesakit sahaja. Kami berfungsi sebagai “front liner” atau “perisai” kepada “preventive medicine”. Oleh itu, saya juga telah membuat “opportunistic screening” iaitu memeriksa tahap kesihatan Puan K yang lain seperti tekanan darah, paras kolestrol, paras gula dan sebagainya.
Selain itu, saya telah membuat inisiatif menjalinkan hubungan “rapport” yang baik dengan Jabatan Psikitarik apabila kami saling berutus “maklum balas bertulis” (feedback memo) setiap kali Puan K menghadiri rawatan di sana.
Inilah yang dikatakan “continuous of care atau personalized care ” yang memenuhi aspirasi “Family Doctor Concept’.
Saya juga amat menghargai usaha Jabatan Psikitarik HPSF yang sudi memberikan “continuous feedback” kepada saya di Klinik Kesihatan.
Inilah seharusnya yang perlu dilihat dalam senario sistem kesihatan kita.
Pihak primary care dan hospital saling bekerjasama dan berinteraksi dengan baik demi kesejahteraan pesakit dan rakyat Malaysia.
………………………………………………………….
Setahun kemudian: “Saya dah OK , Dr!”
“ Saya dah tak makan ubat selama 6 bulan dan alhamdulillah saya dah OK sangat walaupun tak makan ubat. Doktor pakar psikiatrik pun dah discharge saya, alhamdulillah,” terang Puan K semasa sesi konsultasi bersama saya baru baru ini.
“Alhamdulillah. Bagusnya puan. Sekarang ni puan nampak lebih cool. Adakah masalah puan dah selesai? Anak anak tiri puan dah berbaik baik dan tak lagi “kondem” puan?” saya cuba menelah.
“Nak kata masalah selesai tu, tak jugak Dr. Dan nak kata anak anak tiri saya dah tak kondem saya pun, tak juga. Biasalah Dr, hidup ni mana mungkin tiada masalah. Selagi saya hidup ni, saya sedar saya tetap ada masalah. Tapi sayalah yang kena kuat untuk hadap masalah tu semua,”.
“ Alhamdulillah berkat pertolongan Dr , Dr pakar psikiatrik dan doa munajat kepada Allah ,saya berjaya lawan tekanan perasaan saya. Saya dah mampu “tolak” perkara perkara negative yang boleh merosakkan diri saya dan lihat dunia dengan pemikiran positif. Saya dah tak kisah dah orang luar nak cakap apa, yang penting hubungan saya dengan suami sekarang bertambah baik , saya sudah menjadi semakin rasional dan tidak terikut ikut perasaan macam dulu,”
“Masalah tetapi ada doctor. Tetapi jangan biarkan masalah mengawal kita. Kitalah yang mengawal diri kita sendiri,” ujarnya menutup bicara kami pagi itu.
……………………………………………………………………
Kami bukan bomoh.
Kami tidak punya air tangkal penghalau jin.
Kami tiada air mandian perahan limau nipis untuk membuang saka.
Kami tiada jampi serapah .
Ubat “anti depression” bukanlah senjata ajaib kami dalam membantu pesakit Major Depressive Disorder kami.
Apa yang kami ada?
Kami ada anda. Kekuatan anda adalah faktor kejayaan kami membantu anda.
Kami boleh menawarkan sokongan moral , bantuan ubatan untuk “memberi ketenangan demi mengembalikan rasional untuk anda berfikir” dan terapi kaunseling.
Tapi kami tetap tidak akan berjaya jika anda tidak “kentalkan” semangat serta doa yang tidak putus kepada Allah.
Inilah senjata kita- “team work atau usaha/kerja berpasukan” dan akhirnya kita serahkan usaha kita kepada Tuhan agar mempermudahkan urusan rawatan.
Jadi, nasihat saya, kepada mana mana individu yang mengalami symptom kemurungan, jangan biarkan diri anda terus terjerat dengan gangguan perasaan.
Dapatkanlah bantuan dengan segera.
Kami tiada ubat azimat menghalau kemurungan.
Tetapi berikan peluang kepada kami untuk membantu anda “demi membolehkan anda membantu diri anda sendiri”.
#DrWaniWrites
#FamilyDoctorPerspective
#MentalHealthMatters
#ItIsOkNotToBeOk.
