[This is a true story that I experienced it by myself on June 15th and I lost my MYR 2200.00 within 10 minutes] – I am a victim of Macau Scam.
Gambar: Laporan polis dibuat pada 16.6.2022 di IPD Muar
15 Jun 2022, pukul 2.57 pm ketika aku sedang memberi konsultasi kepada pesakit di atas temujanji mengenai perancang keluarga di klinik, aku menerima panggilan telefon,
“You have 1 parcel that was not delivered, please press 3 for more info.”
“Eh? Barang online semua dah sampai, ada yang tak hantar lagi ke?” – bisik hati, lalu aku menekan butang 3.
“Pejabat Pos Taman Ipoh, ada apa yang saya boleh bantu?” Jawab seorang pemuda dengan ramah.
“Tadi. . . awal-awal tadi, katanya saya ada barang yang tidak dihantar. Jadi, saya cuma nak tahu lebih lanjut.”
“Oh, encik! Kalau encik dapat panggilan tersebut, maksudnya ada satu barang yang disekat dan mungkin perlu dapat kepastian daripada pengirimnya.”
“OK. . .”
“Minta tracking number encik.”
“Mana lah saya ada!”
“Oh, OK baik. . . Sebenarnya ada satu bungkusan kotak dibalut warna hitam, tertera pengirim bernama ‘Dr. Mohamad Raimi Radin’ dan IC nya ‘XX-XXXX’, ini bungkusan encik kan?”
“Ah. . . nama dan IC nya betul, itu saya, tapi mana ada saya buat kiriman dari sana!”
“Begini encik, dalam bungkusan ini ada barang terlarang iaitu 1 kad pengenalan dan 5 keping kad bank untuk dihantar ke Sarawak pada 7.6.2022. Jikalau encik mahu meneruskan penghantaran, kami memerlukan surat sokongan. . . “
“Eh! Eh! Eh. . .!” – aku mencelah dengan panik.
“Mana ada saya buat benda tu! Saya mana ada dekat sana, 7 hari bulan tu saya kerja di klinik, di Muar, Johor ni.”
“Encik. . Encik. . Kalau benar encik tidak lakukannya, mungkin maklumat peribadi encik telah digunakan. Memandangkan encik adalah penjawat awam, kes ini macam menganggu nama baik encik.”
“Jadi macam mana ni?”
“Saya beri cadangan, encik buat laporan polis, sebab maklumat encik telah disalahgunakan demi membersihkan nama baik encik.” Rayu pemuda tersebut.
“OK . . . “
“Begini, encik. Encik boleh datang ke sini, Ipoh dalam tempoh 2 jam?”
“Mana lah boleh. . . Jauh lah. . . Apa kata saya buat laporan polis di Muar saja.”
“Boleh encik. . .tapi, kalau polis di Perak yang siasat, mungkin lagi mudah. Begini encik, apa kata saya buat panggilan kecemasan dan sambungkan kepada encik.” Rayu pemuda tersebut.
“OK, baik.”
“Sebelum tu, untuk permudahkan encik membuat laporan polis nanti, saya bagi beberapa maklumat kepada encik. Encik boleh sediakan kertas dan pen?”
“Ya. . . Ya. . . Memang saya sedang pegang pen dan ada kertas ni!”
“Baik, encik tulis: “
Tarikh penghantaran: 7.6.2022
Pengirim: Dr. Mohamad Raimi Bin Radin
Alamat pengirim: Pejabat Pos Taman Ipoh, JKR 4837, Jalan Datul Lau Pak Khuan, Taman Ipoh, 31400, Ipoh Perak.
Nama penerima: Allan Ho
Alamat penerima: Pejabat Pos Besar Sarawak, Lot 619, Blok 16, Jalan Song, 93350, Kuching, Sarawak.
Tracking number: EP282273248MY
Barang yang dihantar: 1 keping IC, 5 keping kad bank Maybank.
****************
Pesakitku tadi yang sedang duduk diam di sisi meja konsultasiku duduk diam dengan sabar menungguku sedang dalam talian.
Aku segera membuat tanda isyarat dan berbisik kepadanya, “sekejap ya. . .” , pesakitku membalas dengan mengangguk.
Aku tulis di atas kertas kosong “MINTA TOLONG DOKTOR LAIN” kemudian aku tunjukkan kepada staf pembantuku, lalu segera dilaksanakanya,
“Puan, ikut saya. . . Tunggu di luar dulu ya. . .” Kata pembantuku kepada pesakit.
Saya berbisik kepada pesakitku tadi, “maaf ya. . .”
****************
“Encik, tolong catit nama saya juga sebagai orang yang bertanggungjawab memberitahu encik. Nama saya ialah Ridzwan Bin Razak. ID pekerja saya ialah PS218105. Encik tahu apa tujuan encik buat laporan polis?”
“Ah. . .Saya akan bagitahu yang maklumat peribadi saya disalah gunakan.”
“Baik, encik. Nanti, bila sudah siap buat laporan, boleh tak encik mohon laporan tersebut difakskan kepada saya. No faks nya 03-22733927.”
“OK.”
Sebelum pegawai pos laju tersebut menyambungkan kepada talian kecemasan, dia meminta aku membacakan semula semua catitan yang penting tadi untuk dilaporkan kepada polis. Apabila dia berpuas hati bahawa maklumat semua tersedia rapi, dia memintaku berada dalam talian untuk disambungkan kepada talian kecemasan.
Selang beberapa saat.
****************
“HELLO!” Suara pemuda yang lain daripada sebelum ini muncul dengan nada yang agak keras. Dalam fikiran aku kemungkinan besar itulah pegawai polis.
Dalam hati aku memang sudah mula rasa ketakutan, tangan sudah sedikit gementar, tetapi aku cuba menjawab dengan tenang.
“Hello. . .”
“ADA APA YANG SAMPAI NAK GUNA TALIAN KECEMASAN NI?” Dia masih dengan nada yang kasar.
“Ah. . . Saya dapat tahu yang ada orang salah guna identiti saya. . .hantar barang terlarang. . . Saya nak buat laporan polis.”
“Boleh datang ke sini dalam 2 jam?”
“Saya duduk Muar ni, tak boleh sampai sana 2 jam.”
“OK, kita boleh buat laporan secara rakaman, awak setuju tak?”
“Ah. . .OK?. . .”
“Untuk mengelakkan perbualan ini adalah ‘SCAM’! Saya akan telefon awak dengan menggunakan telefon IPK Perak. Awak buka Google dan search ‘perak pdrm’!”
Aku lakukan apa yang disuruhnya.
“OK. . Ada. . .”
“Nampak tak nombor telefon IPK Perak?”
“Ada. . . 05-2451072. . .”
“Saya akan matikan talian kecemasan ini dan akan telefon awak dengan nombor tersebut. Setelah awak angkat panggilan tersebut, akan tertera nombor kod rakaman. Bacakan kod rakaman tu kepada saya, sebab kod tu akan jadi rakaman laporan polis awak. Rakaman loparan ini hanya boleh diakses oleh IPK sahaja, contohnya ditempat awak, IPK Johor. Bagitahu kod rakaman ni, nanti dia akan bagi awak pita rakaman dan awak boleh dengar semula. Setuju tak!?”
“OK saya setuju.”
“Dalam kiraan 10 saat, talian ini berhenti dan saya akan telefon awak!”
. . . . . .
Telefon bimbit berbunyi, terpapar di situ nombor telefon IPK Perak ’05-2451072′, aku yakin betul lah pemuda tadi adalah pegawai polis, lalu aku mengangkatnya.
“Saya tak berapa dengar suara awak. . .”
Aku segera betulkan posisi telefon bimbitku, “Hello. . Hello. . Boleh dengar dengan jelas?” Pada masa yang sama, aku segera keluar daripada bilik pejabatku, berjalan menuju ke arah pintu keluar klinik. Ketika ini, mata aku bertentang dengan mata pesakitku yang tadi di mana air mukanya berasa bimbang dengan keadaanku, tetapi aku berlalu sahaja dengan hati berasa sangat bersalah kerana terpaksa menghentikan konsultasinya demi menyelesaikan masalah yang genting ketika ini.
Aku sudah menuju keluar daripada klinik di bahagian tempat letak kereta.
“Awak bersama dengan siapa sekarang?”
“Saya berada di luar klinik ni, suara saya jelas tak?”
“Ya, jelas! Sebelum saya mulakan rakaman ni, saya tak mahu ada suara orang lain! Kalau ada nanti kita kena ulang balik rakaman ni! Saya tak nak buang masa saya. . . Saya tak nak buang masa awak!”
“Saya dekat luar parking ni. . . Tiada orang. . .”
“Senang awak masuk dalam kereta. . . Kunci pintu. . .” Aku pun patuhi arahannya menuju dalam kereta. “Buka enjin. . . Buka air cond. . .” Aku tetap ikutinya. “Sudah!?”
“Sudah. . .”
“Bacakan kod rakaman!”
“+87052451072 . . . “
“Sebelum kita mula, AWAK SETUJU LAPORAN INI DIBUAT SECARA RAKAMAN!?”
“Ya, saya setuju!” Aku menjawab dengan nada penuh yakin.
****************
Maka bermulalah rakaman untuk laporan polis. Perbualan dengan polis tersebut terlampau panjang dan lama, iaitu 118 minit 7 saat (2 jam) yang direkodkan dalam telefon bimbitku.
Sebagai rumusan, aku meneruskan pemberian laporan secara talian kepada pegawai polis ini yang diberi nama Sarjan Muhd Faiz Bin Razak dan nombor badannya, RF 178329 mengenai aduanku tentang penyalahgunaan maklumat peribadiku dalam aktiviti jenayah.
Kemudian pegawai polis tersebut membuat semakan di Pejabat Polis Bukit Aman menyatakan bahawa aku juga adalah suspek penjenayah sindiket kad pengenalan palsu dan kad bank diberikan kepada warga asing setelah seorang suspek bernama Jimmy Wong baru-baru ini telah diberkas dan didapati di rumahnya terdapat banyak kad pengenalan dan kad bank. Waran tangkap juga telah dikeluarkan untuk menangkapku.
Interogasi dilakukan secara talian ke atasku kerana statusku daripada mangsa bertukar kepada “suspek perbuatan jenayah”, dan pegawai polis tersebut ada berbincang dengan pihak atasannya, iaitu IO diberi nama “Tuan Azman” atas dasar kerjasama yang aku telah berikan, maka aku tidak perlu ditangkap buat sementara waktu, namun tindakan seterusnya diarahkan adalah semua akaun bank ku yang aktif perlu dibekukan selama mana siasatan dijalankan.
Ketika arahan pembekuan akaun bank dinyatakan, hati aku hancur, takut dan sedih kerana kesemua akaun bank yang digunakan adalah tujuan kegunaaan harian, pembayaran Personal Loan, House Loan dan simpanan wang amanah aktiviti NGO. Ini sudah semestinya mengganggu urusan aku sebagai suami, bapa kepada anak-anakku, dan kerjayaku sebagai doktor perubatan.
Aku telah merayu untuk tidak dibekukan akaun bank ku. Lalu diberi alternatif bahawa kesemua akaun mempunyai duit mestilah diaudit oleh juru audit berbangsa cina yang telah dilantik oleh ketuanya untuk memastikan duit yang ada didalam akaun bukanlah penerimaan wang haram. Proses audit akan dilakukan selama 2 jam, dan di deposit semula ke akaun aku jika tiada masalah. Aku bersetuju.
Kemudian, dia meminta aku memberitahu jumlah wang sebenar di setiap akaun yang aktif. Aku senaraikan:
Maybank ada RM 745.00
CIMB bank ada RM 1539.56
Bank Islam ada RM 35.99
Tabung Haji ada RM 2350.00
“AKAUN AWAK PERLU DIPINDAHKAN KEPADA JURU AUDIT! AWAK BERANI BUAT DAN SETUJU!?” Dia bertanya dengan nada gertakan yang keras dan kuat.
“SAYA BERANI DAN SETUJU.” Aku menjawab dengan yakin. Padahal hati aku hancur dan takut.
Inilah soalan yang diulang-ulang kepada aku supaya aku sentiasa yakin dengan pendirianku.
Setelah menyatakan persetujuan, aku telah diarahkan untuk membuat transaksi melalui akaun Maybank sejumlah RM 700.00 dan melalui akaun CIMB bank sejumlah RM 1500.00 kepada satu akaun Maybank bernombor 560090118999 bernama Kelvin Yap Ka Vun. Kedua-dua transaksi tersebut berlaku pada pukul 5.29 pm dan 5.35 pm di dalam kereta sejak awal tadi, keseorangan dan kesejukan.
Satu percubaan transaksi melalui akaun Tabung Haji sejumlah RM 1000 gagal kerana faktor tertentu, maka pegawai polis tersebut menyatakan keesokannya boleh dilakukan semula.
Sebelum tamat perbualan telefon yang merupakan laporan polis saya secara rakaman tersebut, pegawai polis tersebut mengarahkan aku menghantar resit transaksi yang telah dilakukan kepada 1 nombor telefon bimbit +6014-8323469 melalui applikasi “WhatsApp” bahawa itu adalah nombor talian pejabatnya sebagai bukti transaksi, dan mengarahkan aku melapor diri sebanyak 4 kali iaitu semasa bangun pagi, waktu Zohor, waktu Asar, dan sebelum tidur di nombor talian itu juga dengan format:
Nama:
IC:
Berada di mana:
Sedang buat apa:
Aku telah melakukannya sejurus tamat rakaman dan perbualan dengannya kerana sudah waktu Asar.
Pegawai polis tersebut menyuruh aku menjaga kerahsiaan kerana merupakan tanggungjawabku untuk memberi laluan siasatan yang dilakukan termasuk kepada isteri dan ahli keluarga.
****************
Sejurus aku memandu pulang ke rumah, di dalam kereta, aku menangis, rasa bersalah dan takut. Orang yang pertama yang muncul di dalam fikiranku untuk aku bagi mengadu nasib adalah arwah ayahku, Sarjan Radin Bin Masuning yang bekerja di IPK Johor. Tetapi, beliau sudah lama meninggal dunia, lagilah aku bertambah sedih, sebak, ketakutan dan tertekan.
Setelah pulang ke rumah, aku merasakan kes aku sebagai suspek adalah sangat benar.
“Kena scam ke?” – aku bertanya diri sendiri.
Situasi dalam talian, intonasi suara, petah dalam interogasi, diselitkan dengan nasihat pengajaran yang sahih dapat dibuktikan sama seperti advokasi PDRM, aku sukar menafikan ia adalah “scam”.
Aku cuba merahsiakan seperti yang diarahkan, tetapi hati aku berbolak balik adakah perlu untuk aku memberitahu isteriku. Tambahan lagi aku sangat ketakutan dan tertekan.
Bagaimanapun, aku cuba memberi tahu isteriku. Isteriku sangat ingin tahu dan membantu. Beliau menyatakan seperti pernah dengar cerita seperti keadaanku. Beliau cuba sedaya upaya mencari kes-kes yang dilaporakan dalam berita-berita secara online. Ternyata salah satu mangsa sangat serupa situasinya sepertiku.
“Aku sudah kena scam!”
Aku telah sedar ketika ini benar-benar sebelum waktu maghrib.
Sejurus aku tahu ini adalah satu penipuan, perasaanku tenang. Tenang kerana nama baik ku tidak tercalar, kerana aku adalah doktor perubatan. Tenang kerana aku masih boleh bersama-sama orang yang tersayang iaity isteri dan anak-anak.
Bagaimana dengan duit? Aku bersyukur Tabung Haji gagal berlakunya transaksi. Sejujurnya aku tidak kisah dan redha perginya RM700.00 daripada akaun simpanan Maybank. Tetapi, dalam RM1500.00 yang telah hilang daripada bank CIMB itu terdapat wang amanah yang untuk aku jaga. Ini yang membuatkan aku bersalah dan akan aku tebus sendiri nanti.
Kesimpulannya, bukan aku yang menjadi mangsa penipuan (scam) kad pengenalan palsu dan kad bank. Tetapi, aku telah menjadi mangsa MACAU SCAM dengan kerugian RM2200. Identiti aku, nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat rumah menetap, alamat tempat kerja, dan nombor akaun bank Maybank dan CIMB aku telah terdedah.
****************
Keesokan harinya aku membuat laporan polis di IPD Muar dan kes ini akan disiasat dibawah jenayah komersil. Urusan kedua-dua bank telah dibuat, tiada jaminan wang yang hilang akan dikembalikan, tetapi aku sudah lakukakan apa yang patut aku buat.
Tujuan pengalaman ini diceritakan dalam penulisan adalah supaya ia dijadikan pengajaran dan sedaya-upaya cuba mencegah diri daripada menjadi mangsa penipuan terutamanya “Macau Scam”.
“Alahai. . . Macam mana ‘doktor’ pun boleh kena tipu!?” – inilah reaksi aku sendiri tidak nafikan benar-benar berlaku terhadap diriku.
Benar! Aku seorang doktor pun sudah pun menjadi mangsa penipuan! Bahkan, RM 2200 sudah hilang daripada akaun bank ku dalam tempoh kurang 10 minit.
Tetapi, sebelum transaksi itu berlaku: ‘Berapa lamakah masa diperlukan untuk si penipu (Scammer) itu meyakinkan aku sehingga berlakunya transaksi duit secara atas talian?’
Jawapannya adalah: ‘2 (DUA) jam.’
Oleh itu, timbalah ilmu dan sila ambil pengajaran daripada mangsa-mangsa penipuan untuk menangkis mana-mana isu penipuan ini.
The Star: How Macau scammers conned Malaysians out of RM256mil this year [CLICK Here]
Cerita-cerita hampir sama dilaporkan dalam berita online:
Wang simpanan RM60,000 pesara lesap ditipu Macau Scam. [CLICK Here]
Jangan terjerat sindiket tipu menyamar pos laju! [CLICK Here]
Guru mengaji rugi lebih RM260000 ditipu Pos Laju. [Click Here]