Kerana Cinta Dia Mengembara.

Kerana Cinta Dia Mengembara.

Seorang anak muda yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh, disirami kasih sayang keluarga sehingga dikhuatiri kehilangannya, disulami cara hidup beragama iaitu Majusi; apakah kehidupan ini tidak diidam-idamkan oleh semua orang? Tetapi tidak pada anak muda Parsi ini, namanya Salman.

Pencarian cinta hakikinya tercetus apabila suatu hari dia diberi peluang melihat orang Nasrani beribadah. Sedikit ilmu yang membukakan hatinya berputik kepada cara hidup yang benar. Lantas dia menyuarakan pendapatnya kepada bapanya bahawa Nasrani itu lebih baik daripada Majusi.

Bapanya tidak bersetuju dengan pendirian anaknya itu. Kerisauan yang tinggi bakal kehilangan anaknya itu memastikan si anak sentiasa berada di sisi si bapa. Cinta yang sebenar tidak boleh melawan cinta yang hanya bersifat sementara. Lalu, dia membuat keputusan mengembara ke bumi Syria, meninggalkan keluarganya mencari cinta yang agung.

Tibanya di bumi Syria, dia menganuti Nasrani. Dia mendekati seorang yang alim dan tinggal bersama-samanya. Malangya, di sisi permukaan seorang yang beragama rupa-rupanya mempunyai hati syaitan. Si alim itu meggunakan agama untuk kerakusan kehendak nafsunya. Hayat si alim itu tidak lama, maka berpisahlah dia dengan Salman. Namun, hatinya teringin bersama-sama insan menyemai cinta yang sebenar-benarnya.

Dia diketemukan dengan seorang pendeta yang lurus dan ikhlas. Bergembiralah Salman dan hiduplah dia bersama-sama si pendeta. Alangkah singkat sekali kebersamaan dengan insan yang dikasihi. Takdir tuhan mengatasi segala-galanya. Perpisahan si pendeta menghadap TuhanNya.

Salman tidak berputus asa. Pengembaraan dan pertemuan dengan seorang yang ikhlas beragama diketemukan. Malangnya, setiap pertemuan adalah sementara, berpisah dan mengembara mencari pengganti. Akhirnya, berita yang sangat membuatkan hatinya bertambah-tambah cinta dan mekar apabila dia diwasiatkan untuk bertemu dengan seorang insan yang membawa cinta yang maha agung. Dia diberikan gambaran tanda-tanda insan tersebut agar mudah dikenalpasti.

Berpergianlah Salman bersama-sama satu kabilah, diberinya kepercayaan membawanya ke suatu tempat di bumi asing daripada bahasanya, bangsanya, malah agama asalnya semata-mata mencari insan yang teramat ingin dia bersua. Malang tidak berbau, diharapkan pegar, pegar makan padi. Dia dijual oleh kabilah itu kepada seorang Yahudi sebagai hamba. Maka, Salman dibawa ke Yathrib untuk berkhidmat kepada tuannya itu sebagaimana ia adalah tugas si hamba.

Sekian lama di Yathrib, terdengarlah berita kedatangan insan yang dinanti-nantikannya selama ini. Ada sahaja masanya untuk dia membuktikan insan itu dengan tanda-tanda yang diberitahu oleh si pendeta dahulu.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu kegembiraannya bertemu insan terpilih ini. Akhirnya, Salman bertemu cinta yang sejati serta kehidupan yang agung merentasi semua cara hidup yang rapuh dan batil. Cinta yang abadi bukan sahaja di dunia, malah kekal hingga bertemu Tuhannya di jannah. Salman bebas sebagai hamba manusia, atas pertolongan persaudaraan yang melangkaui warna kulit, bangsa dan keturunan.

Inilah Salman Al Farisi, seorang sahabat kepada insan yang dicintai, Muhamad, Rasulullah s.a.w, mencintai Islam sebagai cara hidupnya, yang bebas daripada kongkongan hawa manusia, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, dan sarat dengan keadilan.

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada meraka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang mealakukan kebaikan.” (surah al ‘Ankabut, ayat 69)

Published by Dr. Mohamad Raimi Radin. MD.GCFM.🇲🇾🌺

I work as a family medicine resident in a public health clinic. I.M.Sechenov Moscow Medical Academy is where I earned my medical degree (M.D.) in 2012. I graduated with a graduate certificate of family medicine (GCFM) in 2019 from the Academy of Family Physicians of Malaysia (AFPM). I've been working towards my goal of becoming a specialist through the AFPM programme in order to get the Membership of Family Physicians (MAFP) and Fellowship of the Royal Australian College of General Practitioners (icFRACGP).

Leave a comment